PENUBUHAN LEMBAGA TIMAH
Lembaga (Penyelidikan dan Kemajuan) Perusahaan Timah (Lembaga Timah) telah ditubuhkan di bawah Seksyen 4, Ordinan Kumpulan Wang (Penyelidikan dan Kemajuan) Perusahaan Timah, No.58 tahun 1953, dan telah beroperasi semenjak tahun 1954. Pada bulan Mac 1991, Ordinan tersebut telah dipinda dan diwarta sebagai perundangan terpinda yang dinamakan Akta Kumpulan Wang (Penyelidikan dan Kemajuan) Perusahaan Timah No. 455 tahun 1953 (Akta 455).
Sebagai sebuah badan berkanun Persekutuan, Lembaga Timah adalah bertanggungjawab kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).


OBJEKTIF
- Membantu membangunkan industri timah yang mampan dan berintegrasi secara menyeluruh dengan mempromosi serta memudahkan pertumbuhan dan pelaburan dalam keseluruhan eko-sistem industri timah termasuk sektor-sektor huluan, pertengahan dan hiliran serta rantaian-rantaian bekalannya.
- Menjalankan dan membantu aktiviti-aktiviti R&D yang akan memberikan manfaat kepada industri timah di Malaysia.
- Merangsang, mempopular dan memperluaskan penggunaan serta kegunaan-kegunaan timah dalam industri pembuatan produk-produk berasaskan timah berdasarkan kelebihan-kelebihan tekno-ekonomi logam tersebut bagi memanfaatkan kepentingan industri timah di Malaysia.
- Melaksanakan usaha-usaha publisiti serta menyebarluaskan maklumat mengenai pengeluaran, ciri-ciri, ketersediaan dan keperluan timah dalam kehidupan seharian.
- Menjalankan aktiviti-aktiviti lain yang relevan dan memberi manfaat kepada industri timah dan pemegang taruhnya.



FUNGSI
- Merancang dan menggubal strategi-strategi yang wajar bagi pembangunan industri timah tempatan.
- Merancang dan menggubal dasar-dasar penyelidikan, pembangunan dan seranta yang bersepadu untuk memajukan industri timah tempatan.
- Memberi bantuan khidmat tekno-ekonomi serta menggalakkan pemindahan teknologi kepada industri timah tempatan.
- Mewujud dan membangunkan industri pembuatan berasaskan timah dalam pembangunan bersepadu industri timah tempatan.
- Menganjur aktiviti-aktiviti sokongan lain yang boleh mempertingkatkan lagi pembangunan serta imej pro-aktif industri timah.

PEMBIAYAAN
KUMPULAN WANG (PENYELIDIKAN DAN KEMAJUAN) PERUSAHAAN TIMAH (AKTA 455) 1953
Akta ini memperuntukkan bagi kutipan ses ke atas timah yang dieksport dari Malaysia. Ianya juga memperuntukkan penubuhan satu Kumpulan Wang di mana segala kutipan wang sebagai ses hendaklah dimasukkan ke dalamnya. Akta ini juga menubuhkan satu Lembaga Timah bagi mentadbir dan mengurus Kumpulan Wang tersebut untuk tujuan membiayai aktiviti-aktiviti penyelidikan, pembangunan, seranta dan lain-lain bagi manfaat industri timah Malaysia. Mulai Julai 2013, kutipan ses timah telah ditetapkan pada kadar 40 sen sekilogram ke atas bijih timah yang dieskport.
PIAGAM PELANGGAN
- Memberikan khidmat nasihat pakar mengenai keseluruhan spektrum industri timah.
- Memperkukuhkan lagi hubungan rapat di antara industri perlombongan dengan Kerajaan.
- Menggalak dan meningkatkan pembangunan industri pembuatan barangan berasaskan timah di Malaysia.
- Memberikan perkhidmatan mesra serta maklumat yang jitu dan terkini kepada para pelawat tempatan dan asing.
- Menyebarkan maklumat tepat mengenai perkembangan semasa industri timah melalui penerbitan-penerbitan yang sahih dan terkini.
- Menguruskan dengan cekap Kumpulan Wang yang mengandungi kutipan ses untuk memastikan ianya digunakan dengan berkesan bagi pembangunan industri timah Malaysia.
- Memastikan bahawa semua aktiviti-aktiviti seranta, penyelidikan dan pembangunan (R&D) menepati keperluan dan kehendak semasa serta masa depan industri timah dan negara.
Peti # 28, Tingkat 8, West Block,
Wisma Golden Eagle Realty,
142-C, Jalan Ampang 50450,
Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: +603 2161 6171
Fax: +603 2161 6179
Emel: mcom@mcom.com.my
Hak cipta © 2025 Lembaga (Penyelidikan dan Kemajuan) Perusahaan Timah. Semua hak terpelihara.